Menjana Sambil Beramal Jariah

Jana Pendapatan Sekarang!

Sabtu, Mac 20, 2010

Tolak Ansur Kukuh Ekonomi Keluarga

Melalui fasa hidup berumah tangga lebih 20 tahun, Wan Nurshakila Abdul Satar, 43, dan pasangannya, Hasnuden Hashim, 45, berpegang kepada konsep tolak ansur yang menjadi penentu kebahagiaan mereka sekeluarga.

"Apa yang terpenting adalah nilai tolak ansur terutama merencanakan ekonomi keluarga di samping pendidikan anak.

"Soal berkira pendapatan masing-masing, tidak ketara sangat kepada saya dan suami. Kami lebih memikirkan soal membangunkan keluarga dalam pelbagai aspek seperti pendidikan, sosial dan keagamaan, tentunya kami perlu merancang dengan bijaksana.

"Mungkin saya bertuah suami seorang perunding dalam bidang pengurusan dan begitu praktikal. Perbelanjaan atas perkara kurang penting diabaikan kerana kami mengutamakan yang terbaik untuk kebaikan ekonomi keluarga," kata pegawai tadbir, Wan Nurshakila.

Pasangan bahagia ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Muhaimin, 19, Muhammad Muzammil, 16, Nurfarhanah, 14 dan Nurhumaira yang berusia lapan tahun.

Menurutnya, kebijaksanaan mencatur ekonomi keluarga sering ditandai oleh persefahaman penting dalam menyatukan pendapatan berdua untuk diagihkan dalam perkara utama yang perlu diselesaikan bersama.

Antaranya termasuk bayaran bil penting seperti elektrik, air dan telefon di samping mencakup aspek lebih besar seperti bayaran ansuran kereta dan rumah.

"Setiap bulan memang kami mengatur perbelanjaan masing-masing untuk diselesaikan. Ia memerlukan kebijaksanaan merancang kewangan dan terpenting adalah menyelesaikan dulu perkara wajib seperti hutang-piutang sebelum berbelanja untuk keperluan lain.

"Sekiranya tiada tolak ansur antara pasangan, ia akan memberi kesan terhadap perancangan yang lain. Dalam hal ini, sebagai wanita dan ibu, kita bukan hanya perlu bijak namun persefahaman kedua-duanya amat penting," katanya.

Mengekalkan kasih sayang bersama suami tercinta, dia banyak berkorban untuk kebahagiaan suami selain bertolak ansur dalam banyak perkara.

Ketika suaminya menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti Wichita Kansas, Amerika Syarikat sebaik saja dikurniakan anak pertama, dia sanggup menemani si suami semata-mata memberi sokongan moral untuknya meneruskan pengajian.

Sebagai ibu yang dianggap pemacu dalam membuat perancangan terhadap masa depan keluarga, Wan Nurshakila beranggapan perkara yang terpenting baginya adalah pelaburan untuk pendidikan anak demi melakar masa depan bahagia.

"Kebanyakan perancangan kewangan saya diberi lebih tumpuan kepada tabung kewangan, pelaburan dan insurans setiap bulan buat setiap anak terutama yang berkaitan aspek pendidikan mereka.

"Pada saya, setiap anak harus diberi tumpuan kerana pendidikan adalah yang terunggul selain harta terpenting buat mereka.

"Bukan hanya dalam bentuk tabungan atau perlindungan insurans, saya turut memberi penekanan kepada apa saja perkara berkaitan pembangunan diri seperti kelas bimbingan, tuisyen, motivasi diri dan keagamaan serta kursus berkaitan aspek jati diri.

"Oleh itu, jadual harian anak sentiasa padat, namun itu tidak bermakna saya terlalu menekan mereka dalam soal pendidikan semata-mata.

"Apabila berpeluang melakukan aktiviti sosial atau riadah, kami manfaatkannya bersama," katanya.

0 ulasan:

QURA'AN KAREEM

"Magical Template" designed by Blogger Buster