Pilih pasangan hidup berakhlak mulia, beriman
ISLAM mengajar umatnya berhati-hati memilih pasangan hidup kerana hidup berumahtangga tidak hanya untuk satu atau dua tahun tetapi diniatkan sepanjang hayat.
Usaha memilih calon isteri atau suami tidak boleh dianggap mudah. Ia memerlukan waktu kerana kriteria memilih harus sesuai dengan syariat Islam. Orang yang hendak bernikah perlu memilih teman hidupnya dengan cermat.
Apabila seorang Muslim memilih pasangannya bererti dia menjadikan pasangan itu sebahagian daripada hidupnya.
Wanita yang akan menjadi isteri dalam rumah tangga akan menjadi ibu atau pendidik anaknya.
Lelaki yang menjadi suami atau pemimpin rumah tangga akan bertanggungjawab dalam hidup anak dan isteri.
Janganlah sampai menyesal terhadap pilihan pasangan selepas berumah tangga. Dalam memilih calon isteri, Islam memberikan beberapa petunjuk dan kriteria.
Satu daripada kriteria itu ialah calon isteri hendaklah memiliki dasar pendidikan agama dan berakhlak.
Sabda Rasulullah bermaksud, “Dari Abu Hurairah dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Perempuan itu dinilai kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, lalu pilihlah perempuan yang beragama nescaya kamu bahagia (Muttafaqun Alaihi).
Dalam hadis itu, dilihat bagaimana baginda menekankan pada sisi agamanya dalam memilih isteri dibanding dengan harta, keturunan, bahkan kecantikan sekalipun.
Allah berfirman bermaksud, “Jangan kamu nikahi wanita musyrik sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita budak mukmin lebih baik daripada wanita musyrik walaupun ia menarik hatimu. (Surah al-Baqarah: ayat 221).
Sehubungan itu, dengan kriteria memilih calon isteri berdasarkan akhlaknya, Allah berfirman bermaksud, “Wanita keji adalah untuk lelaki keji dan lelaki untuk wanita keji dan wanita baik adalah untuk lelaki baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita baik. (surah An-Nur: Ayat 26).
Seorang wanita yang memiliki ilmu agama tentu akan berusaha dengan ilmu itu supaya menjadi wanita salihah dan taat pada Allah. Wanita salihah akan dipelihara Allah, seperti firmannya bermaksud:
“Maka wanita yang salihah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara dirinya. Oleh kerana itu Allah memelihara mereka.” (Surah An-nissa, ayat 34).
Sesungguhnya wanita solihah bagi lelaki adalah sebaik-baik perhiasan dunia. Kriteria memilih isteri yang harus diberi perhatian ialah mempunyai sifat penyayang dan dapat melahirkan banyak anak.
Dalam memilih wanita yang banyak melahirkan anak, ada beberapa perkara yang perlu diketahui iaitu:
* Kesihatan fizikal dan penyakit yang menghalang kehamilan. Untuk mengetahuinya, kita mesti meminta bantuan pakar. Oleh itu, seorang wanita yang mempunyai kesihatan yang baik dan fizikal kuat biasanya mampu melahirkan banyak anak.
Di samping itu, dia dapat memikul beban rumah tangga serta menunaikan kewajipan mendidik anak serta menjalankan tugas sebagai isteri dengan baik.
* Melihat keadaan ibu dan saudara perempuan yang sudah bernikah. Sekiranya mereka termasuk wanita yang banyak melahirkan anak, maka biasanya wanita itu akan seperti itu juga.
* Hendaklah memilih calon isteri yang masih gadis, terutama bagi lelaki bujang. Ini dimaksudkan untuk mencapai hikmah sempurna dan manfaat yang agung.
Di antara manfaat itu adalah memelihara keluarga, bukan menyusahkan kehidupan, menjurus ke dalam pelbagai masalah serta permusuhan.
Pada masa sama, ia akan mengeratkan tali cinta kasih antara suami isteri dan sekali gus memberi sepenuhnya kehalusan serta kelembutan kepada lelaki yang pertama kali melindungi, menemui dan mengenalinya.
Lain halnya dengan janda. Kadangkala daripada suami kedua, dia tidak mendapatkan kelembutan hati yang sebenarnya kerana ada perbezaan besar antara akhlak suami pertama dan suami kedua.
* Mengutamakan orang jauh (dari keakraban) dalam perkahwinan. Ini dimaksudkan untuk keselamatan fizikal anak keturunan daripada penyakit yang menular atau cacat secara turun temurun.
Biasanya anak tidak tumbuh besar dan dalam keadaan lemah atau mewarisi cacat kedua orang tuanya dan penyakit nenek moyangnya.
Di samping itu, cara itu juga dapat memperluaskan pertalian kekeluargaan dan mempereratkan ikatan sosial.
Diharap kriteria dinyatakan itu dapat menjadikan panduan dan pedoman bagi lelaki khususnya, teruna yang ingin mencari pasangan hidup dan menamatkan bujang.
Kita juga mengharapkan rumah tangga yang dibina itu akan mendapat berkat, bahagia dan kekal abadi hingga ke akhir hayat.
Oleh Hashim Ahmad
0 ulasan:
Catat Ulasan