Menjana Sambil Beramal Jariah

Jana Pendapatan Sekarang!

Sabtu, Mac 20, 2010

Perceraian Bukan Pengakhir Kehidupan

Perceraian adalah satu perkara yang amat merugikan. Ia seperti satu krisis kehidupan yang memberi impak amat besar terhadap orang yang diceraikan. Impak tersebut bukan sahaja terhadap individu terbabit malah anak-anak, adik- beradik dan ahli keluarga yang lain.

Kalau anda wanita yang mempunyai pengalaman atau sedang melalui proses perceraian, jangan menganggap anda berseorangan kerana di luar sana ada ramai yang senasib dengan anda.

Perasaan yang ditanggung? Sudah tentu menyakitkan. Impak perceraian tersebut bukan setakat pada diri anda malah seluruh ahli keluarga juga merasai kepedihannya.

Antara yang dirasakan oleh mangsa cerai ialah kehilangan, dikhianati dan keliru. Semua perkara ini bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh mereka yang terlibat dalam perceraian.

Persoalan yang sering berlegar di fikiran ialah apa yang akan berlaku selepas ini? Ketahuilah, perceraian bukanlah pengakhir kehidupan.

Ia bukan satu perkara yang mudah. Juga bukanlah satu pilihan yang telah dirancang, namun jangan risau kerana terdapat beberapa langkah yang boleh diambil apabila anda terpaksa berhadapan dengan situasi baru ini.

"Saya sudah tidak sanggup melalui pengalaman sebegini."

Perceraian memang menyakitkan. Tiada satu ubat pun yang boleh menghilangkan dengan segera. Ia adalah satu proses pemulihan yang mengambil masa mungkin sehingga bertahun lamanya.

Jika anda mengalami perceraian, anda pastinya akan berasa sedih dan dinafikan. Hati anda hancur dan sedih hingga mungkin menyebabkan anda tidak mahu mempunyai hubungan dengan sesiapapun.

Jangan sesekali membiarkan emosi menguasai diri kerana inilah masanya anda perlu membangunkan diri anda kembali. Anda perlu meletakkan kehidupan pada tahap yang paling stabil.

Memang perasaan sedih itu normal dan tidak dinafikan juga tangisan akan memberikan kelegaan sekali gus memulihkan hati secara perlahan.

Tiada masalah jika anda memberikan ruang untuk memikirkan kembali masalah tersebut tetapi bangkitlah untuk satu sinar yang lebih baik.

"Saya masih mencintainya dan amat berharap dia menerima saya kembali."

Kebanyakan isteri yang telah diceraikan mengakui masih menyayangi bekas suami. Ini kerana mereka telah memberikan sepenuh hati dan mengabdikan diri kepada pasangan masing-masing.

Bagi isteri hanya maut yang boleh memisahkan dengan suami, tetapi malangnya hanya isteri yang beranggapan sedemikian. Suami tidak mahu meneruskan perjanjian yang telah dimeterai semasa dia melafazkan akad nikah dahulu.

Anda tidak mempunyai kuasa untuk mengubah fikiran suami dan sekalipun anda memaksa ia mungkin tidak akan berlaku.

Apabila kembali tenang, mungkin anda boleh cuba fikirkan siapa yang anda mahukan untuk menemani hidup sepanjang hayat.

Sudah tentu suami yang menyayangi diri anda dan menerima anda seadanya.

Apabila anda seikhlas hati menyintai seorang lelaki, pasti anda mengharapkan dia juga berperasaan sama terhadap anda bukan?

Cinta sejati perlu lahir dari hati yang ingin dicintai. Cinta yang ditolak dan diri yang dikhianati memang memeritkan. Tetapi mahukah anda apabila pasangan anda kembali kepada anda tanpa perasaan cinta dan ikhlas? Tidak, bukan!

Sudah tentu anda mahukan suami yang dulunya pernah mengucap cinta pada anda saat melafazkan pernikahan, walau anda inginkan saat itu kembali kini, anda perlu menerima hakikat yang anda tidak boleh memaksa dia mencintai anda seperti dulu.

"Saya rasa seperti tidak wujud di hati suami dan dikhianati."

Walaupun diketepikan oleh suami jangan sekali-kali merasakan dia telah mengubah keyakinan diri anda. Anda tetap individu yang mempunyai harga diri dan disayangi oleh ahli keluarga serta sahabat.

Perceraian itu tidak akan mengubah nilai baik yang ada pada anda. Ingatlah manusia adalah ciptaan Tuhan dengan mempunyai matlamat, mempunyai bakat, pendapat dan boleh mengubah kehidupan kepada yang lebih baik.

Memang perceraian membuatkan anda berasa marah. Tetapi anda perlu mengajar diri untuk berhadapan dengan perasaan negatif tersebut.

Tidak dinafikan juga kemarahan itu boleh memberikan anda motivasi dan meningkat diri serta kerjaya ke tahap yang lebih baik.

Tetapi awas, silap langkah, kemarahan boleh membinasakan diri anda kembali.

"Nampaknya apa saja yang saya buat semuanya tidak kena...hidup saya kini tidak sebaik dulu."

Lapan puluh peratus daripada tenaga digunakan untuk 'memproses' perasaan. Sebab itu, seseorang akan berasa letih jika terlalu tertekan dengan masalah. Tahap keyakinan diri juga memang akan terjejas.

Selepas berkahwin, sedikit sebanyak hubungan bersama rakan-rakan biasanya akan berkurangan. Selepas bercerai anda rasa keseorangan dan mahu mengasingkan diri.

Akhirnya sikap tersebut memberi kesan kepada prestasi kerja dan seterusnya kewangan anda.

Lawan perasaan tersebut, beritahu diri dan buat pilihan untuk jalan yang lebih baik.

"Apakah pilihan yang saya boleh ambil selepas diceraikan?"

* Dapatkan khidmat sokongan dan kaunseling. Cari seorang kaunselor bertauliah yang pernah anda dengar menerusi media atau risalah. Kini terdapat juga pusat perlindungan dan penjagaan sementara untuk mangsa cerai.

* Ucap selamat tinggal pada masa lampau, carilah pekerjaan baru dan sumber kewangan jika itulah isu utama perceraian.

Jika tidak tahu caranya, minta tolong pada sesiapa yang tahu untuk membuat resume. Banyak laman web yang menyediakan khidmat mencari pekerjaan untuk mereka yang memerlukan.

* Tetapkan matlamat jangka pendek pasti akan memberi satu sinar baru. Sebagai contoh, anda boleh mulakan gaya hidup baru dengan cara yang lebih sihat.

Pastikan anda bersenam setiap hari dan makan makanan yang berkhasiat. Terima hakikat bahawa anda telah bercerai. Cari buku motivasi tentang kehidupan selepas bercerai dan bina semangat baru.

* Berdoa dan beribadat mampu memberi kekuatan dalaman. Malah apabila anda mendekatkan diri kepada Tuhan anda akan lebih mengenali diri anda dan berasa bersyukur dengan apa yang telah Tuhan beri.

Apabila anda tenang, semua perkara dapat diatasi dengan baik.

Susunan Noor Fazrina Kamal

0 ulasan:

QURA'AN KAREEM

"Magical Template" designed by Blogger Buster