Menjana Sambil Beramal Jariah

Jana Pendapatan Sekarang!

Sabtu, Mac 20, 2010

Bercerai Jejas Kesihatan

Bercerai hidup atau mati dalam sesebuah perkahwinan hakikatnya adalah satu ketentuan yang tidak dapat dielakkan dan menerimanya sebagai takdir Tuhan.

Namun apa yang mungkin ramai tidak sedar atau tidak tahu sebenarnya perpisahan membawa kesan kesihatan yang signifikan pada isteri atau suami yang ditinggalkan biarpun selepas mereka berkahwin semula.

Malah kajian oleh para penyelidik Barat juga menunjukkan impak daripada perpisahan itu dirasai sehingga bertahun-tahun sama ada dari segi emosi mahupun kesejahteraan keseluruhan individu tersebut.

Ia terus dirasai walaupun individu tersebut mungkin sudah mampu meneruskan kehidupannya dengan menemui ketenangan dan kebahagiaan dalam perkahwinan baru.

Kajian terbaru itu telah membuktikan bahawa perceraian menjejaskan kesihatan walaupun jika mereka sudah berkahwin semula.

Mereka yang bercerai atau menjadi balu menghadapi risiko dilanda masalah kesihatan yang kronik seperti menghidap penyakit jantung, diabetes, atau kanser 20 peratus lebih tinggi berbanding mereka yang kekal dalam perkahwinan.

Mereka juga menghadapi 23 peratus lebih tinggi masalah mobiliti termasuk kesukaran untuk memanjat tangga atau berjalan biarpun pada jarak yang dekat.

Kajian juga mendedahkan bahawa dengan mencari pasangan baru tidak banyak membantu mengembalikan kesihatan mereka.

Mereka yang berkahwin semula masih berdepan masalah kesihatan kronik 12 peratus lebih tinggi dan masalah mobiliti (19 peratus) berbanding mereka yang kekal dalam perkahwinan.

Adalah dipercayai bahawa bercerai atau menjadi balu menjejas tahap kesihatan disebabkan kemerosotan dari segi pendapatan, tekanan melampau dan kesedihan yang berpunca daripada isu-isu seperti penjagaan anak dan kewangan.

Bagaimanapun kesan buruk disebabkan tekanan melampau lebih ketara - daripada masalah sistem kardiovaskular hinggalah kepada sistem imun - dan berterusan sehingga bertahun-tahun lebih-lebih lagi apabila individu tersebut sekali lagi dilanda kesedihan.


Para penyelidik Universiti Chicago dan Universiti Johns Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat, baru-baru ini membuat kajian terhadap 8,652 orang berusia antara 51 hingga 61 tahun.

Perkahwinan pertama

Tiga per empat daripada mereka masih berkahwin dengan 55 peratus perkahwinan pertama dan 20 peratus berkahwin semula, manakala 22 peratus pernah berkahwin tetapi sudah berpisah. Kurang daripada empat peratus responden tersebut belum berkahwin.

Dan daripada jumlah mereka yang pernah berkahwin tetapi sudah berpisah, 69 peratus tinggal berasingan atau bercerai dan 31 peratus kematian suami atau isteri.

Purata usia pertama kali berkahwin di kalangan mereka yang telah bercerai atau menjadi balu adalah 21 tahun. Mereka menghabiskan purata 25 tahun hidup berumah tangga dan 9.5 tahun hidup selepas bercerai atau menjadi balu

Para penyelidik juga memeriksa tahap kesihatan responden dalam aspek jumlah penyakit kronik yang dihidapi seperti diabetis, penyakit jantung, penyakit paru-paru, kanser atau strok dan tahap mobiliti (kebolehan bergerak).

Turut diperiksa ialah simptom-simptom kemurungan dan ditanya tentang bagaimana mereka menilai tahap kesihatan mereka sendiri sama ada cemerlang, sangat baik, baik, biasa atau rendah.

Kajian mendapati bahawa tahap kesihatan mereka yang berkahwin semula atau kumpulan yang sudah bercerai sangat teruk berbanding mereka yang masih dalam perkahwinan.

Responden yang tidak pernah berkahwin mempunyai masalah mobiliti 12 peratus lebih tinggi berbanding yang mempunyai pasangan dan 13 peratus lebih tinggi bagi simptom kemurungan.

Ahli Sosiologi dari Universiti Chicago yang juga penulis bersama kajian tersebut, Profesor Linda Waite, memberitahu kehilangan suami atau isteri berpunca daripada perceraian boleh menyebabkan tekanan melampau selama berbulan-bulan atau bertahun sehingga menjejaskan sistem peredaran di dalam tubuh badan.

Beliau berkata: "Tekanan menjejaskan sistem imun adan dan membawa kepada peningkatan keradangan. Sekarang kita andaikan bahawa keradangan itu boleh menjadi punca kepada penyakit kardiovaskular (berkaitan jantung) dan jenis kanser tertentu.

"Bertambah teruk jika pada tempoh ini biasanya individu tersebut tidak mengambil peduli atau menjaga keadaan dirinya. Tidak makan atau bersenam dengan betul.

"Individu tersebut juga selalunya tidak cukup tidur dan kehidupan sosial juga terjejas lebih-lebih lagi jika perpisahan itu dirasakan cukup menyeksakan. Mereka kehilangan kawan dan ipar duai yang selama ini menjadi tempat mengadu.

Bagaimanapun Waite menegaskan bahawa walaupun perceraian atau menjadi balu membawa risiko kesihatan tetapi ia tidaklah sampai ke peringkat umpama 'hukuman mati'.

"Jika anda menjaga diri dan mereka yang di sekeliling ada turut menyokong, anda mungkin dapat meminimumkan kerosakan itu," katanya.

Kajian sebelum ini menunjukkan bahawa perkahwinan mempunyai kaitan yang positif pada kesihatan dan kesejahteraan seseorang itu dalam jangka masa panjang.

Kajian oleh Cass Business School di London pula mendapati bahawa lelaki yang kematian isteri menghadapi risiko untuk mengikut 'jejak langkah' pasangannya enam kali lebih tinggi dakan tempoh 12 bulan dan angka itu dua kali ganda bagi wanita.

Lebih 42 peratus perkahwinan di Britain berakhir dengan perceraian.

0 ulasan:

QURA'AN KAREEM

"Magical Template" designed by Blogger Buster