Menjana Sambil Beramal Jariah

Jana Pendapatan Sekarang!

Isnin, Februari 15, 2010

Pengajian Pondok di Kelantan

APA ITU PONDOK ?

Pondok adalah satu institusi teristimewa dan tinggi kedudukan dalam masyarakat melayu yang mengamalkan penimbaan ilmu secara tradisional. Gedung ini telah diwarisi secara turun-temurun yang berperanan mengenal Allah dan Islam melalui ilmu tauhid, tasauf, fardhu ain dan sebagainya. Perkataan pondok berasal dari perkataan Arab " Funduq" (فندوق ) bererti rumah tumpangan atau tempat menginap pengembara-pengemba ra. Ada pula yang mendefinisikan sebagai rumah kecil atau pondok kecil yang didirikan untuk sementara waktu di sawah-sawah, ladang atau lain-lain tempat yang mempunyai deretan rumah kecil. Ada pula yang mengatakan perkataan langgar yang berasal dari perkataan Parsi seerti dengan pondok.

SEJARAH PONDOK

Di utara Semenanjung Malaysia, pondok mempunyai dua erti., Pertama, ia bererti rumah kecil yang bersifat sementara. Kedua ia bererti sebuah institusi pembelajaran Islam yang berbentuk tradisional dan ortodoks. Di Malaysia dan Thailand Selatan pondok bererti institusi pendidikan agama Islam yang bersendirian dan berasrama. Di jawa pondok disebut pesantren dan dalam bahasa Jawa ia bermakna madrasah. Manakala di Acheh, Sumatera pondok disebut dayah. Hakikatnya, dapat dibuat rumusan bahawa pondok itu adalah rumah kecil yang dibina bertujuan untuk tempat tinggal yang berkaitan dengan pengajian agama Islam yang terletak berhampiran surau atau masjid.

Kemunculan Pondok dan Perkembangannya

Tarikh tepat penubuhan pondok di Kelantan tidaklah diketahui, namun sistem ini telah muncul pada awal abad ke 19 Masehi. Ia bermula apabila Tuan Haji Abdul Samad Abdullah membina pondok pertama di Pulau Chondong yang terletak di Jalan Kuala Krai - Kota Bharu, walaupun ada pendapat lain yang mengatakan pengasasnya yang pertama bermula di zaman pemerintahan Long Jenal. Seterusnya pondok lain telah dibina oleh Haji Ismail di Machang. Sejarah telah membuktikan bahawa wujudnya pondok di negara ini dari Patani pada abad ke 17 yang diperkenalkan oleh seorang ulama Kedah. Dipercayai kerana pengaruh Tok Kenali, maka pada kurun ke 20 Kelantan mendahului negeri lain sebagai pusat pertama pengajian pondok, walau besar kemungkinan kemunculannya lebih awal di Terengganu.

Pengajian pondok di Kelantan dipelopori oleh ulama yang terkenal yang kembali dari Mekah dan amat disanjung oleh masyarakat Kelantan pada masa itu itu. Ulama-ulama Kelantan di Kota Bharu mulai pertengahan kedua abad ke 19 mengajar ilmu tasawuf, feqah, usuluddin dan cabang-cabang ilmu linguistik. Antara mereka yang terkenal itu ialah Haji Abdul Samad Muhd. Salleh (Tuan Tabal, 1840-1891), Haji Wan Ali Abdul Rahman Khutam dan Haji Yaakob Abdul Halim. Dengan tertubuhnya Pondok Kubang Pasu , Di Kota Bharu pada tahun 1850, Tuan Tabal telah membawa kepada perkembangan dan meluaskan lagi pendidikan pondok di Kelantan.

Pembukaan pondok itu telah membawa erti yang unggul sinaran ajaran tasawuf tersebar luas di Kelantan. Perkembangan pondok di Kelantan mulai pesat selepas tahun 1909 berikutan kepulangan sejumlah besar ulama negeri ini dari Patani dan Mekah. Ulama ini memainkan peranan penting memperkembangkan sistem pondok dengan membuka pondok di kawasan mereka. Nama-nama seperti Tok Selehor (Tuan Guru Syeikh Abdul Rahman), Tok Jelapang (Tuan Guru Haji Ahmad) dan Haji Wan Musa adalah ulama terkenal di Kelantan.

Pada pertengahan abad ke 19 Masehi. Pondok Tok Kenali merupakan pusat pengajian Islam yang terkenal di Asia Tenggara. Di peringkat awal pondok banyak didirikan di sekitar Kota Bharu. Di antaranya ialah Pondok Tok Bachok di Bachok pada tahun 1900 oleh Haji Othman Haji Muhammad. Pondok Kubang Pasu pada tahun 1900 oleh Haji Nik Abdullah Haji Wan Abdul Samad. Pondok Haji Malik Hassan pada tahun 1907 oleh Haji Abdul Malik Hassan di Kampung Sungai Pinang, Tumpat. Pondok Haji Yusuf di Pulau Ubi, Geting, Tumpat oleh Haji Ibrahim, Pondok Tuan Padang yang diasaskan oleh Haji Taib Tuan Padang, Pondok Kampung Banggol oleh Haji Wan Ismail dan Pondok Kampung Tok Semian oleh Haji Wan Abdul Samad Mohd. Salleh.

Fenomena pondok di Kelantan terus bersinar menjelang pertengahan abad ke 20 apabila beberapa buah pondok baru telah dibina. Dalam tahun 1913 Masehi Pondok Bunut Payong atau Madrasah Ahmadiah telah diasaskan oleh Tuan Guru Haji Abdullah Tahir. Kemudian diikuti pula oleh Pondok Lati, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Kubang Benbam dan Pondok Paksu Wel. Perkembangan pondok berkembang dengan dinamik di zaman kegemilangan Tok Kenali dan selepasnya. Di tahun 1910 hingga 1945 Masehi ini bolehlah dikatakan zaman keemasan dalam perkembangan pondok di Kelantan.

Bermula zaman dari tahun 1945 masehi, perkembangan pondok mulai merosot dalam riwayat pondok di Kelantan. Sebab utama kemerosotannya ialah berpunca dari perubahan-perubahan dalam perkembangan pelajaran di Kelantan. Pada masa itu mulai muncul sekolah-sekolah rakyat yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar, ditambah pula sekolah-sekolah Melayu dan agama kerajaan lebih baik dan terjamin berbanding sistem pondok.

Dalam tahun-tahun 40an dan 50an telah muncul beberapa buah pondok yang hingga kini masih kekal, setelah kedapatan pondok-pondok terdahulu telah berkurangan sambutannya dan tidak diminati lagi. Akhirnya ada pondok yang terpaksa ditutup atau diambil alih oleh kerajaan untuk dijadikan sekolah Arab atau sekolah agama kerajaan.

Selepas tahun 1945, pondok-pondok tetap didirikan di negeri Kelantan, walau pun mendapat persaingan sengit dengan sekolah-sekolah kerajaan dan sekolah Arab. Pondok-pondok itu ialah Pondok Haji Muhd. Noor di Kampung But, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu yang diasaskan oleh Haji Muhd. Noor pada tahun 1946. Pada tahun 1950 Pondok Darul Ulum al-Ahmadiah telah ditubuhkan di Kampung Kolam, Bachok oleh Haji Muhammad Abdullah. Pada tahun 1958 pula, Pondok Sungai Durian telah ditubuhkan di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai oleh Haji Abdul Rahman Sulaiman. Pada tahun 1971, jumlah pondok di Kelantan berjumlah 100 buah mengandungi 2,000 orang murid.

Dalam meniti arus pemodenan dan cabaran zaman, untuk menjamin sistem ini agar terus unggul dan berfungsi, maka pada 22 April 1995 usaha guru-guru pondok di Kelantan telah menubuhkan sebuah badan khas untuk menangani masalah itu yang dikenali Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB). Tujuan utamanya ialah untuk meninggikan syiar dan kefahaman Islam di kalangan ummah dan merangkumi sistem tarbiah dan sosial. Usaha ini menampakkan fikiran dan alternatif ke arah menangani masalah sekolah pondok untuk masa hadapan demi menyahut cabaran pendidikan Islam di Malaysia amnya dan di Kelantan khasnya.

SISTEM PENGAJIAN PONDOK

Teori
- Belajar Kitab dengan Tuan2 Guru
- Mengulangkaji Pengajian Dengan Senior atau Mempelajari kitab2 yang tidak diajar.

Amali
- Amalan Harian
- Pelajar mengikut Tuan2 Guru.

Selain itu kelas dibahagikan kepada :
1. Untuk Pelajar (Akan menduduki peperiksaan)
2. Untuk Mustami' (Pendengar, tidak akan menduduki peperiksaan)
3. Umum untuk penduduk setempat.

Tempoh Pengajian

Pengajian pondok tidak mempunyai tempoh tertentu. Ini disebabkan pengajian pondok menitikberatkan kemampuan pelajar itu menerima setiap pelajaran serta kemampuan mereka terhadap pelajaran tersebut. Oleh yang demikian pelajar yang benar-benar mampu sahaja akan menghabiskan pengajian dengan lebih cepat. Walau bagaimanapun mereka yang tidak mampu mengikut pelajaran tersebut mungkin perlu mengulangi pelajaran sehinggalah mereka benar-benar mampu.

Walaupun begitu ini terhad kepada sistem pengajian pondok yang berbentuk NIZAMI sahaja, sedang sistem pengajian sekolah biasa tidak sedemikian.

Waktu Pembelajaran
Bagi pengajian pondok, Masa dipenuhi dengan aktiviti pengajian sama ada aktiviti itu berbentuk kurikulum atau ko-kurikulum. Manakala pelajar yang mengikuti sistem sekolah dan pondok serentak pula, mereka akan mengikuti sesi pengajian pondok selepas sesi pengajian di sekolah.

KUKIKULUM PONDOK DAN KO-KURIKULUM PONDOK

Kurikulum di pondok secara umum
Tahap 1 : Mengenal Al-Quranul Karim.
Tahap 2 : Belajar Kitab-kitab Jawi Kecil dan Asas Bahasa Arab
Tahap 3 : Belajar Kitab-kitab Jawi Besar dan Kitab Arab Kecil
Tahap 4 : Menghabiskan Kitab-kitab

Berdasarkan asas kurikulum inilah kitab-kitab pengajian dibahagikan kepada pellajar untuk mereka mengikutinya.

Cthnya Subjek Feqah : Pelajar akan didedahkan dengan kitab yang rendah sebelum berpindah ke kitab yang lebih besar.

Ko-Kurikulum Pondok
- Belajar Bersyarah
- Belajar Berzanji
- Berzikir
- Persatuan Falak.
- Menjadi Imam Terawih (Senior)
- Menyampaikan syarahan dalam musim tertentu spt. Maulud
- Sembahyang Berjemaah
- Berdikari
- Kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan

Kitab-kitab yang diajar
- Kitab Jawi
- Kitab Arab

Antara laman blog Guru Pondok :

1. Pondok Tampin - Ustaz Abdul Raof bin Haji Nurin al Bahanji : http://pondoktampin .blogspot. com/

2. Pondok Pasir Tumboh Kelantan : Ustaz Mohammad Elias bin Abdul Jalil : http://almalakawi. wordpress. com/

Pelopor Pondok di Kelantan

Ulama-ulama Negeri Kelantan

Tok Kenali (Haji Mohd. Yusoff Ahmad)
Haji Abdul Malik Sungai Pinang (Haji Abdul Malik Bin Hasan)
Haji Ali Pulau Pisang (Haji Mohd Solahuddin Bin Awang)
Haji Abdullah Tahir Bunut Payong (Haji Abdullah Tahir Bin Haji Ahmad)
Haji Awang Lambor (Haji Abdullah Bin Haji Omar)
Haji Saad Kangkong (Haji As'ad Bin Haji Daud )
Haji Yaakub Lorong Gajah Mati
Haji Ismail Pontianak (Haji Ismail Bin Haji Majid)
Tok Selehong (Haji Abdul Rahman Bin Haji Osman)
Haji Daud Bukit Abal (Haji Daud Shamsuddin Bin Haji Omar Al-Libadi)
Mufti Haji Wan Musa (Haji Wan Musa Bin Haji Abdul Samad)
Haji Seman Sering (Haji Osman Bin Muhammad )

0 ulasan:

QURA'AN KAREEM

"Magical Template" designed by Blogger Buster