Menjana Sambil Beramal Jariah

Jana Pendapatan Sekarang!

Isnin, Februari 15, 2010

Kisah Wanita Penzina

PADA suatu senja, seorang wanita berjalan terhuyung-hayang. Pakaiannya yang serba hitam menandakan bahawa dia berada dalam dukacita.

Kulit wanita itu bersih. Badannya ramping dan wajahnya ayu. Namun, kesedihannya tidak dapat diceriakan dengan wajahnya yang cantik itu.

Kepedihan dan kesedihan yang amat sangat jelas terbayang pada wajah wanita itu.

Wanita itu bagaikan hilang punca dan tidak tahu apa hendak dilakukan bagi mengubati kelukaannya.

Dia kemudian melangkah perlahan-lahan menghampiri rumah Nabi Musa. Diketuknya pintu rumah Nabi Musa perlahan-lahan sambil memberi salam.

Apabila mendengar salam itu, Nabi Musa membalasnya dan mempersilakan wanita itu masuk ke rumahnya.

Perempuan cantik itu masuk ke rumah Nabi Musa sambil kepalanya terus tunduk merendah diri.

Air matanya berderai ketika bersuara kepada Nabi Musa.

Katanya: “Wahai Nabi Allah. Tolonglah saya. Doakan saya agar Tuhan berkenan mengampuni dosa keji saya.”

“Apakah dosamu wahai wanita ayu?”tanya Nabi Musa terkejut.

“Saya takut mengatakannya.” balas wanit itu.

Nabi Musa kemudian berkata: “Katakanlah jangan ragu-ragu!"

Wanita itu dalam nada suara rendah kemudian bercerita: “Saya telah berzina.”

Nabi Musa terkejut, hatinya tersentak mendengar pengakuan wanita itu.

Wanita itu kemudian meneruskan ceritanya: “Hasil perzinaan itu saya hamil. Selepas anak itu lahir, saya cekik lehernya hingga mati.”

Wanita itu terus menangis selepas menceritakan hal itu kepada Nabi Musa.

Nabi Musa marah dengan apa yang dilakukan oleh wanita itu. Dengan muka yang berang dia mengherdik wanita itu: “Perempuan jahat, pergi kau dari sini, agar seksa Allah tidak datang ke rumahku kerana perbuatanmu.

“Pergi kau dari sini.”

Hancur luluh hati wanita itu apabila mendengar perkataan yang keluar dari mulut Nabi Musa.

Secara perlahan-lahan dengan hati yang sayu, wanita itu melangkah keluar dari rumah Nabi Musa.

Ratap tangisnya amat memilukan. Dia tidak tahu ke mana lagi hendak mengadu nasib.

Hatinya bertambah pilu apabila seorang Nabi pun menolaknya, apa lagi manusia biasa? Siapa yang sudi menerima dan mendengar kesedihannya?

Terbayang olehnya betapa besar dosanya, betapa jahat perbuatannya.

Selepas wanita itu meninggalkan rumah Nabi Musa, Jibril turun menemui baginda.

Jibril bertanya kepada Nabi Musa: “Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat daripada dosanya?

“Tidakkah engkau tahu dosa yang lebih besar daripadanya? "

Nabi Musa terperanjat. Katanya: "Dosa apakah yang lebih besar daripada kekejian wanita penzina dan pembunuh itu?"

“Betulkah ada dosa yang lebih besar daripada perempuan yang keji itu?"

“Ada!" jawab Jibril tegas.

“Dosa apakah itu?" tanya Musa yang ingin tahu mengenainya.

Jibril menjawab: "Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa menyesal.

“Dosa orang itu lebih besar daripada seribu kali berzina.”

Mendengar penjelasan ini Nabi Musa kemudian memanggil wanita tadi untuk menghadap kembali kepadanya.

Dia mengangkat tangan dengan khusyuk untuk memohon keampunan kepada Allah untuk perempuan itu.

Nabi Musa menyedari, orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa penyesalan adalah sama saja seperti berpendapat bahawa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu atas dirinya.

Ini bererti orang itu seakan-akan menganggap remeh perintah Tuhan, bahkan seolah-olah menganggap Tuhan tidak punya hak untuk mengatur dan memerintah hamba-Nya.

Dalam hadis Rasulullah disebutkan orang yang meninggalkan solat lebih besar dosanya dibanding dengan orang yang membakar 70 al-Quran, membunuh 70 nabi dan bersetubuh dengan ibunya dalam Kaabah.

Dalam hadis lain disebutkan bahawa orang yang meninggalkan solat hingga terlewat waktu, kemudian dia mengqadanya, maka dia akan diseksa dalam neraka selama satu huqub.

Satu huqub adalah 80 tahun. Satu tahun ada 360 hari, sedangkan satu hari di akhirat perbandingannya adalah seribu tahun di dunia.

Solat itu tiang agama dan kemuncak nilai atau etika kehidupan Muslim Ia ialah satu bentuk ibadat yang penuh dengan hikmah dan falsafahnya. Allah berfirman bermaksud : “Sesungguhnya solat itu ialah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah an-Nisa, ayat 103)

Abdullah ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Islam tertegak atas lima rukun iaitu bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan rasul-Nya; mendirikan solat; membayar zakat; mengerjakan haji dan puasa pada Ramadan."

Agama Islam diibaratkan oleh Rasulullah sebagai sebuah khemah yang disokong oleh lima batang tiang.

Tiang tengahnya ialah kalimah syahadah. Empat tiang lagi ialah tiang sokongan yakni satu tiang pada tiap satu penjuru khemah itu.

Tanpa tiang tengah, maka tiang itu tidak boleh ditegak dan sekiranya mana-mana satu daripada tiang sokongan yang di penjuru itu hilang, maka runtuhlah penjuru khemah yang rosak itu.

Kini marilah kita lihatlah dengan mata sendiri sejauh manakah kita tegakkan agama Islam itu.

Apakah akan berlaku jika meninggalkan salah satu daripada Rukun Islam, contohnya solat? Pastinya, khemah itu akan roboh.

Mengenai orang yang bertaubat dan menyesali dosanya dengan bersungguh-sungguh bererti dia masih mempunyai iman di dadanya. Dia menyesal atas perbuatannya kerana sudah melanggar perintah Allah. Dia juga tahu melakukan kesalahan di sisi agama dan mengakui kesalahannya.

Orang yang bertaubat itu sedar bahawa Allah akan membalas kejahatannya dan oleh itu mahu bertaubat serta berikrar tidak akan melakukannya lagi.

Taubat bermaksud kembali kepada Allah dengan melepaskan ikatan perlakuan dosa secara berterusan dari hati yang ikhlas kemudian bangun dengan melaksanakan perintah Allah. Allah telah memerintahkan kepada seluruh orang yang beriman untuk bertaubat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman nescaya kamu beruntung.” (Surah an-Nur, ayat 31)

Malah, Allah menyifatkan orang yang tidak mahu bertaubat termasuk dalam golongan yang zalim.

Firman-Nya bermaksud: “...Dan barang siapa yang tidak mahu bertaubat, mereka itulah orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Taubat adalah penyucian diri daripada segala dosa yang dilakukan oleh seorang hamba terhadap Tuhannya sama ada disengaja atau tidak. Taubat adalah meninggalkan segala amalan maksiat yang dilakukan dan digantikan dengan amalan kebajikan.

Taubat mempunyai beberapa syarat dan rukun-rukunnya. Barang siapa yang meninggalkan dosa semata-mata tanpa melakukan segala perbuatan yang disukai dan dicintai oleh Allah, maka ia tidak dipanggil orang yang bertaubat. Melainkan dia kembali dan mara menuju ke arah rahmat Allah.

Antara syarat bertaubat ialah segera meninggalkan dosa, menyesali dosa yang dilakukannya, berniat tidak mengulanginya lagi serta mengembalikan hak orang yang dizaliminya atau meminta halal daripadanya.

Taubat hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah dan bukan kerana sebab lain seperti kerana takut celaan orang.

Oleh itu, orang yang hendak bertaubat mestilah menyesali perbuatan dosanya, menghilangkan segala keinginan berbuat dosa dan menyesali kelengahan taubatnya.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Menyesal itu adalah taubat.” (Hadis riwayat Ahmad Ibn Majah) Di samping itu, hendaklah dia merasakan bahawa dosa itu adalah keji dan sangat berbahaya. Ini bererti taubat yang benar tidak mungkin disertai dengan perasaan senang apabila teringat dosa-dosanya yang lalu.

Orang yang bertaubat hendaklah yakin bahawa Allah Maha Pengampun walaupun dia melakukan dosa sebesar gunung kerana rahmat Allah amat luas.

Firman Allah bermaksud: “Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu.” (Surah al-A’raf, ayat 156).

Hadis Rasulullah juga menjelaskan bahawa orang yang bertaubat daripada dosanya bagaikan orang yang tidak mempunyai dosa sama sekali.

Taubat mempunyai kedudukan yang tinggi dan seseorang hamba memerlukan taubat setiap masa dan ketika selagi hayat dikandung badan.

Rasulullah menyeru umatnya supaya memperbanyakkan beristighfar dan Baginda sendiri memohon ampun dan beristighfar lebih 70 kali sehari.

Sabda Rasulullah bermaksud : “Bertaubatlah kamu kepada Tuhan kamu, sesungguhnya aku sentiasa memohon ampun kepada Allah dalam satu hari lebih 70 kali.”

Saidatina Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah mengapa Baginda banyak melakukan ibadat dan beristighfar, sedangkan Allah telah mengampunkan segala dosa Baginda yang lalu dan segala dosa di belakang hari. Jawab Baginda: “Wahai Siti Aisyah! Apakah tidak wajar aku ini menjadi seorang hamba yang amat bersyukur kepada Tuhannya?”

Fikir dan renungkanlah. ..!!!

0 ulasan:

QURA'AN KAREEM

"Magical Template" designed by Blogger Buster