Kewajipan pelihara bumi Allah
SEBAGAI khalifah Allah di muka bumi, manusia memikul amanah cukup besar. Manusia bertanggungjawab sepenuhnya bagi memakmurkan bumi serta memelihara segala khazanah kekayaan Allah daripada segala bentuk ancaman, kerosakan dan kemusnahan.
.
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya dunia ini cantik, subur menghijau dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu (wahai manusia) selaku pengurusnya dan apa yang terdapat padanya." (Hadis riwayat at-Tirmidzi).
.
Sebenarnya, semua ciptaan Allah yang terdiri daripada haiwan, tumbuhan, lautan, gunung-ganang malah virus yang amat kecil itu mempunyai faedah tersendiri buat kehidupan manusia.
.
Sebenarnya, semua ciptaan Allah yang terdiri daripada haiwan, tumbuhan, lautan, gunung-ganang malah virus yang amat kecil itu mempunyai faedah tersendiri buat kehidupan manusia.
.
Semua diciptakan Allah untuk dimanfaatkan dengan cara yang terbaik bagi memudahkan kehidupan manusia di muka bumi ini.
.
Begitulah kehebatan dan rahmat Allah SWT yang tidak sesekali membiarkan manusia hidup dalam keadaan serba kekurangan dan kedaifan. Dengan sifat ar Rahmaan dan ar Rahim-Nya, manusia sama ada yang beriman atau kufur terus diberi nikmat. Hal ini sewajarnya menjadikan manusia semakin tunduk patuh kepada-Nya.
.
Bagi hamba yang memiliki iman yang sempurna, segala kejadian ciptaan Allah menjadikan mereka sentiasa berfikir mengenai kehebatan Allah SWT.
.
Penciptaan makhluk di langit dan di bumi menjadi antara tanda jelas membuktikan kewujudan dan kehebatan Allah s.w.t.
.
Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang yang beriman." (Surah al-Jaathiyah, ayat 3).
.
Secara jelas, Islam melarang umatnya melakukan kerosakan di muka bumi. Kerosakan yang dimaksudkan termasuk melakukan perbuatan maksiat dan keji oleh mereka yang alpa akan larangan Allah serta kerosakan yang membabitkan kemusnahan alam ciptaan Allah.
.
Dewasa ini, sesetengah pihak bersifat rakus menghimpun kekayaan dunia dengan menjalankan projek pembangunan mega sehingga sanggup merosakkan ekosistem alam. Gunung-ganang ditarah tanpa kajian dan penelitian, pokok balak ditebang secara haram, kawasan tadahan hujan dibotakkan sewenang-wenangnya sehingga seluruh hidupan termasuk manusia dan haiwan menderita menanggung akibatnya.
.
Disebabkan kerakusan serta sifat tamak manusia yang mengabaikan tanggungjawab memelihara alam semula jadi ini akan menyebabkan berlaku kerosakan dan bencana yang akan mengganggu kehidupan mereka sendiri. Firman Allah yang bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).. " (Surah ar-Ruum, ayat 41).
.
Allah s.w.t amat membenci golongan yang melakukan kerosakan di muka bumi. Firman-Nya yang bermaksud: "Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedangkan Allah tidak suka kepada bencana kerosakan." (Surah al-Baqarah, ayat 205).
.
Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77).
.
Penciptaan kehidupan di atas muka bumi yang terkandung di dalamnya pelbagai jenis flora dan fauna memerlukan penjagaan dan pemeliharaan bagi memastikan sistem ekologi berfungsi dengan lancar dan baik.
.
Aturan kehidupan tersebut yang seimbang adalah menurut sunnatullah yang sentiasa beroperasi untuk memastikan manusia mendapat faedah daripadanya. Sistem yang amat istimewa diciptakan Allah ini dikenali ekosistem yang sangat unik dan sistematik.
.
Justeru, manusia sebagai khalifah tidak terlepas daripada tanggungjawab bagi memastikan tiada sebarang kerosakan dan kemusnahan di atas muka bumi yang boleh menjejaskan perjalanan sistem ini.
.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu." (Surah Ibrahim, ayat 32-33).
.
Sebagai manusia yang dianugerahkan akal fikiran yang boleh menentukan baik buruk sesuatu perkara, manusia seharusnya mengawal diri daripada terus mengeksploitasi sumber alam secara berlebihan.
.
Fenomena seperti tanah runtuh, banjir kilat dan jerebu haruslah dijadikan renungan agar kita dapat memikirkan kesan jangka masa panjang terhadap kerakusan mengaut keuntungan dunia yang tidak berkesudahan.
.
Maka, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dalam memelihara keindahan alam semula jadi agar generasi akan datang akan terus mendapat nikmat yang tidak ternilai ini.
.
Oleh: Mohd Shahrizal Nasir
0 ulasan:
Catat Ulasan