Menjana Sambil Beramal Jariah

Jana Pendapatan Sekarang!

Isnin, Februari 15, 2010

Puisi Hawa


Hawa..
Andai engkau masih remaja,
Jadilah anak yang solehah buat ibu bapamu
Andai engkau sudah bersuami,
Jadilah isteri yang meringankan beban suami mu
Andai engkau masih ibu,
Didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan agama Allah

Hawa..
Andai engkau belum berkahwin,
Jangan kau risau jodohmu,
Ingatlah Hawa janji tuhan kita,
Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik,
Jangan dimulakan sebuah pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim,
Kerana aku khuatir,
Dari mata jatuh kehati,
Maka lahirnya senyuman,
Maka tercetusnya salam,
Dan sekali gus di susuli dengan pertemuan,
Takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.

Hawa..
Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa,
Lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannya,
Lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya dan yang penting agamanya.
Lelaki yang baik juga tidak menginginkan pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana dia takut memberi kesempatan kepada syaitan untuk menggodanya.
Kerana dia tahu ape matlamatnya dalam sebuah pertemuan lelaki dan wanita,
Yakni sebuah perkahwinan.

Oleh itu Hawa ..
Jagalah pandanganmu, awasilah auratmu, peliharalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu.
Andai ditakdirkan tiada cinta daripada Adam untukmu,
Cukuplah hanya cinta Allah memenuhi dan menyinari kekosongan jiwamu,
Biarlah hanya cinta dari kedua ibu bapamu
Yang memberi hangat kebahagian buat dirimu,
Cukuplah sekadar cinta adik-beradik serta
Keluarga yang membahagiakan dirimu.

Hawa...
Cintailah Allah dikala susah dan senang
Kerana kau akan memperolehi cinta daripada insan yang juga menyintai Allah.
Cintailah kedua ibu bapamu,
Kerana kau akan memperolehi keredhaan Allah.
Cintailah keluargamu,
Kerana kau tak akan jumpa cinta yang bahagia selain dari cinta keluarga.
Janganlah sesekali tangan yang mengoncang dunia juga mengoncang iman lelaki.

Wassalam...

Ucap “SAYANG” Kepada Bukan Mahram

SOALAN:
Dulu saya pernah meminta nasihat daripada seorang lelaki. Dia juga ingin mencari seorang lelaki soleh untuk saya. Kami selalu berhubung melalui telefon dan e-mel. Dia juga meminta biodata dan ingin tahu perwatakan saya. Sekarang, saya terkesan dengan setiap percakapannya. Dia pernah menyatakan dia menyayangi saya kerana ALLAH. Bolehkah seorang lelaki yang bukan mahram menyatakan sebegitu kepada saya? Bagaimanakah cara untuk saya menyelesaikan perkara ini?

JAWAPAN:
Tidak patut bagi mana-mana lelaki menyatakan hal ini kepada mana-mana wanita yang bukan mahram (individu yang boleh dinikahi) dengannya. la boleh menyumbang kepada fitnah hati kerana terpikat dengan kata-kata tersebut. Perbuatan seperti ini dilakukan oleh kebanyakan lelaki dengan niat yang baik, harapan dan istiqamah. Tetapi ia adalah cara yang salah dan haram disisi agama. Sabda Rasulullah s.a.w., "Dosa adalah apa yang terdapat di dada kamu dan kamu benci jika diketahui oleh manusia. " - Hadis riwayat Muslim: 4632.

Lelaki tersebut mesti menyembunyikan perkara ini daripada orang lain. Usaha untuk mencari jodoh yang baik amat digalakkan. Usaha ini akan dinilai oleh ALLAH. Tetapi janganlah kamu mengambarkan perwatakan kamu secara berlebihan padanya.

Sabda Rasulullah s.a.w., "Tidak boleh bagi seorang wanita bercampur dengan wanita lain, kemudian menceritakan halnya kepada suaminya seolah-olah suaminya dapat melihatnya sendiri. Hadis riwayat Muslim: 5240. Kamu boleh mengambarkan perwatakan kamu sekadar apa yang diizinkan syarak jika dia ingin melamar kamu, iaitu muka dan tapak tangan. Tapi ini dikhususkan bagi lelaki yang benar-benar ingin menikahi kamu. Lelaki tersebut pula perlu meminta nasihat orang yang berilmu atau orang tengah untuk melihat wanita yang ingin dilamar tanpa pengetahuannya (wanita tersebut).

Selain itu, kami nasihatkan agar kamu memutuskan hubungan dengan lelaki tersebut. Pohonlah keampunan daripada ALLAH di atas segala yang berlaku. Berwaspadalah ketika bermuamalat (bergaul). Jauhkanlah diri daripada fitnah yang boleh menjauhkan kamu daripada rahmat ALLAH. Untuk makluman kamu, wanita adalah fitnah bagi kaum lelaki. Oleh itu, jagalah peribadi kamu sebagai wanita solehah agar tidak menyebabkan orang lain terjebak dalam dosa.

Sabda Rasulullah s.a.w., "Tidak aku tinggalkan selepasku fitnah yang paling dahsyat ke atas lelaki melainkan fitnah wanita.” - Hadis riwayat al-Bukhari: 4706 dan Muslim: 4923.

Sabda Rasulullah s.a.w., “Dunia adalah sesuatu yang segar dan manis, ALLAH melantik kamu sebagai khalifah untuk melihat sejauh mana kamu boleh lakukan. Takutilah fitnah yang ada pada dunia dan takutilah fitnah yang ada pada wanita. Sesungguhnya fitnah pertama bagi Bani Israel ialah wanita.” –Hadis riwayat Muslim: 4925

(Sumber islamonline.net)

Wallahuaklam.

Kelebihan Lelaki Pada Akalnya

Allah Maha Bijaksana menjadikan makhluk berpasang-pasang; lelaki dan wanita, bumi dan langit, siang dan malam, syaitan dan malaikat, gunung dan lembah, matahari dan bulan, begitulah seterusnya.Banyak hikmah dalam kejadian alam yang perlu direnung dan dijadikan bukti keagungan Allah. Satu contoh dalam kejadian manusia, Allah jadikan wanita bersifat lembut dengan nisbah 9/10 malu dan 1/10 akal, manakala lelaki 9/10 akal dan 1/10 malu.

Atas kelebihan akal inilah, Allah menjadikan kaum lelaki penjaga bagi kaum wanita. Begitu juga dalam apa jua masalah, Allah menyamakan 2 wanita dengan 1 lelaki; contohnya dalam hal penyaksian.Walaupun kurang berakal, namun wanita ada sifat malu. Kerana ada malulah, wanita dipandang mulia. Kalaulah wanita tiada malu, habislah dunia ini. Begitu juga lelaki, meskipun kurang malu namun mereka mempunyai akal yang dapat memikirkan kesan dan sebab-akibat sesuatu perkara. Kalaulah lelaki tiada akal, dunia akan jadi kocar-kacir.

Begitulah kebijaksanaan Allah untuk menjaga keharmonian alam. Namun apa dah jadi pada masa ini. Wanita sudah tidak ada perasaan malu lagi; bebas bergaul tanpa batas, bebas keluar hingga larut malam. Manakala lelaki pula sudah tidak menggunakan akal lagi malah merosakkannya pula. Fikirkanlah kesan buruk yang akan menimpa masyarakat jika fitrah kejadian ini sudah diabaikan.

Wanita yang sepatutnya malu dah tiada malu lagi; lelaki yang sepatutnya berakal dah hilangkan akal mereka. Perempuan dengan gejala dedah; lelaki dengan gejala dadah.

dipetik dari RAHSIA PERKAHWINAN

Panduan Mengenali Lelaki Baik

Lelaki jujur tidak gemar kalau dia dicurigai. Dia juga tidak suka dikatakan sedang menyembunyikan sesuatu. Lelaki jujur biasanya cemerlang dalam pelajaran ataupun pekerjaan. Dia tidak punya masa untuk bermain sembunyi-sembunyi. Dia suka berterus terang dan dia mahu orang mempercayai kata-katanya. Kalau dia dicurigai dia boleh berasa amat kecewa dan boleh bertindak.

Misalnya, seorang suami yang memang tiada apa-apa skandal di luar, jika isterinya tidak habis-habis melemparkan kata-kata curiga, dia boleh bertindak betul seperti apa yang dikatakan oleh isterinya itu. Aku jujur pun isteri aku kata aku tak jujur. Baiklah aku tak payah jujur. Dikhuatiri kata-kata begini mula terdapat di dalam hatinya. Dia mungkin tidak bertindak songsang pada waktu terdekat, tetapi apabila titik hitam mula terbentuk di hatinya lambat laun, ia mungkin terjadi.

Begitu juga seorang lelaki jujur dalam kategori tunang ataupun teman. Orang jujur memang tidak patut dicurigai. Sebenarnya bukan orang jujur saja, siapa pun tidak suka jika dia dikatakan tidak baik, meskipun dia memang tidak baik. Jadi, cuba bayangkan perasaan seorang yang baik tetapi asyik dicurigai.

Persoalannya bagaimanakah hendak mengenali lelaki baik? Memang sukar namun kita perlu berpegang pada satu-satu prinsip untuk dijadikan panduan. Kita boleh kata tak semestinya begitu dan tak semestinya begini, tapi jika kita terus berkata begitu, kita tidak akan mencapai kesudahan. Kita akan menjadi seorang jurutikai dan tiba-tiba tanpa kita sedar dia sudah pun meninggalkan kita kerana tidak tahan dengan kerenah kita.

Oleh itu, jadikan apa yang akan saya paparkan di bawah ini sebagai panduan saja. Tidak semestinya betul, harus salah. Lelaki itu jujur jika :

1. Dia seorang yang cemerlang dalam usaha yang dilakukannya. Tidak semestinya betul tetapi kita boleh berpegang lelaki yang sibuk membina kecemerlangan diri memang tidak sempat untuk membina cinta-cinta palsu. Mana mungkin seorang yang sibuk menguruskan perniagaan ataupun tekun melakukan kerjanya ataupun seorang pelajar yang sibuk menelaah ada masa untuk mempermainkan wanita.

2. Dia seorang yang kuat pengamalan agamanya. Tidak semestinya betul sebab orang yang kuat beribadah pun tidak terlepas daripada godaan syaitan, malah semakin besar serbannya semakin besar pula syaitannya. Namun, tentulah lebih ramai yang sempurna hasil kuat peribadahan agamanya berbanding yang ambil tidak peduli dengan agamanya.

3. Dia seorang yang amat mengambil berat tentang keluarganya. Seorang lelaki yang baik pasti seorang yang amat disenangi oleh seluruh ahli keluarganya.
Tumpuannya pada kerjaya, keluarga dan TUHAN.

Gabungan ketiga-tiga aspek ini menjadikan seseorang lelaki itu sempurna. Dia sudah tentu tidak punya masa untuk menjalin hubungan-hubungan luar biasa sebab kesibukannya bersama kerjaya, keluarga dan TUHAN.

Kerjaya menjadikannya seorang yang sibuk untuk mengejar matlamat, keluarga sandarannya untuk menjadi seorang penyayang dan bertanggungjawab. TUHAN pula menjadi pengharapannya demi kehidupan yang lebih baik dan sempurna serta kekal abadi. Apakah anda fikir seorang lelaki yang mempunyai tiga aspek beginimasih patut dicurigai?

Ramai suri rumah akhirnya ditinggalkan keranaterlalu prasangka, menyangka yang bukan-bukan serta merangsang suami dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas. Nasihat saya, berilah kepercayaan padu kepada suami anda selagi belum terbukti sesuatu. Selagi ia berlegar dalam pemikiran ia tidak perlu dilayan.

Selamat membina perhubungan intim danjadilah orang yang ceria serta bahagia sepanjang hidup kita. Saling mempercayai lebih bagus daripada saling mencurigai.

Wallahu'alam

Memahami tahap kesihatan seorang lelaki

Oleh Dr.Mohd. Ismail Mohd Tambi

KESIHATAN secara am melambangkan kesejahteraan fizikal, mental, spirituil dan sosial.Kesihatan mutlak lelaki berbeza dengan wanita walaupun dari segi keperluan asas ia lebih kurang sama.

Keperluan kesihatan lelaki tidak boleh disamakan dengan keperluan kesihatan keluarga yang banyak berfokuskan wanita dan kanak-kanak.

Lelaki mempunyai keperluan kesihatan yang tersendiri.

Dari perspektif gender lelaki memainkan peranan sosial yang mencabar, seperti kedudukan utama dalam masyarakat dan juga keluarga.

Perkara ini seolah-olah membentuk sahsiah lelaki yang dikatakan sebagai `egosentrik.’ Inilah punca dilema lelaki!

Kajian menunjukkan lelaki sebenarnya terdedah dengan pelbagai risiko kesihatan dan penyakit.

Jangka hayat lelaki kurang lima hingga enam tahun dari wanita. Lelaki yang berumur 45 hingga 54 tahun tiga kali lebih kerap mati akibat serangan sakit jantung jika dibandingkan dengan wanita.

Kadar kematian atas sebab penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis, penyakit buah pinggang, strok dan kanser lebih tinggi jika dibandingkan dengan wanita.

Dari perspektif psikologi, lelaki lebih terdedah dengan tekanan dan terlibat dengan keganasan rumah tangga serta di tempat kerja.

Malah, sebilangan besar lelaki membunuh diri akibat tekanan.

Bilangan lelaki yang mengalami masalah kesihatan mental 40 peratus lebih dari wanita.

Dari aspek sosial, lelaki lebih terasing dari keluarga kerana komitmen pada pekerjaan.

Ini mengakibatkan mereka tidak dapat bermesra dengan anak-anak dan isteri serta mudah terjerat dengan hubungan luar.

Lelaki juga boleh mengalami kanser reproduktif seperti kanser pundi prostat dan kanser buah zakar.

Bagaimanapun, tidak banyak lelaki tahu mengenainya dan cara untuk mencegahnya.

Jika dibandingkan dengan wanita, mereka begitu peka dengan kanser anggota reproduktif seperti kanser payu dara, kanser pangkal rahim dan sebagainya.

Oleh yang demikian memang wajar lelaki diberi perhatian dalam pengendalian kesihatannya melalui program-program tertentu.

Program Kesejahteraan Lelaki misalnya, dapat membuka hati dan minda mereka supaya berjumpa doktor dan kaunselor kesihatan.

Dengan cara ini dapat menggalakkan mereka menjalani pemeriksaan asas tentang kesihatan dan mendapat maklumat serta bimbingan tentang isu tertentu mengenai kesihatan mereka.

Seperti kereta, yang perlu menjalani servis, lelaki juga perlu menjalani `servis’.

Mengetahui tentang tahap kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah dan pengambilan ECG sekiranya perlu untuk mengenal pasti keadaan jantung dan tahap kolesterol dalam darah.

Selain itu, pemeriksaan buah zakar penting untuk mengetahui gejala kanser atau ketumbuhan buah zakar.

Pemeriksaan pundi prostat dan ujian darah PSA untuk mengesan penyakit pundi prostat dan tahap glukosa dalam darah untuk mengesan kencing manis.

Kesemua pemeriksaan ini perlu dilakukan secara berkala.

Sekiranya ada masalah, rawatan atau rujukan sewajarnya kepada pakar perubatan perlu dilakukan.

Di samping pemeriksaan kesihatan mereka perlu diberi pendedahan tentang penjagaan kesihatan melalui makanan dan cara hidup yang sihat.

Ini termasuk pemakanan seimbang dan sihat, senaman yang sesuai mengikut umur dan kaunseling kesihatan secara kelompok atau pendedahan kepada ceramah kesihatan lelaki.

Maklumat seterusnya ialah untuk renungan lelaki dan keluarga tersayang supaya dapat memanfaatkannya bersama.

Kesihatan kesuburan lelaki

Lelaki dengan ciri-ciri kesuburan mempunyai anggota reproduksi yang berfungsi normal.

Mereka mempunyai buah zakar yang menghasilkan sperma yang mencukupi dan salur sperma yang tidak terkandas.

Selain itu, mereka juga dapat menyalurkan sperma tanpa sekatan keluar salur kencing semasa ejakulasi.

Pundi prostat, pundi seminal dan pundi cowpers yang berfungsi normal dapat menghasilkan air mazi yang mencukupi untuk menampung sperma dan zakar yang berfungsi normal.

Pada masa yang sama, mereka dapat mencapai ereksi untuk disalurkan ke dalam faraj semasa persetubuhan dan keupayaan klimaks supaya air mani dapat dipancutkan ke dalam faraj.

Cabaran kesihatan kesuburan lelaki

Cabaran kesuburan lelaki ialah apabila lelaki itu tidak mempunyai sperma dalam air mani (azoospermia) , tidak mempunyai bilangan sperma yang mencukupi atau tidak mempunyai bilangan sperma yang aktif atau yang berbentuk normal.

Masalah kesuburan juga berlaku apabila lelaki itu tidak dapat menyalurkan zakar ke dalam faraj atau gagal mencapai ejakulasi.

Kira-kira 40 peratus daripada pasangan lelaki yang mengalami masalah kesuburan (jumlah yang sama dengan wanita yang kurang subur).

Jumlah ini dijangka meningkat kerana kurang kepekaan lelaki terhadap kesihatan kesuburannya.

Kajian di Eropah dan negara Scandinavia menunjukkan perubahan alam sekitar dan pencemaran memberi tekanan kepada kesuburan lelaki.

Kesannya, bilangan benih lelaki masa kini kurang jika dibandingkan dengan bilangan sperma lelaki 20 tahun yang lalu.

Lelaki perlu jumpa doktor bersama pasangan wanita sekiranya pasangan itu tidak dapat cahaya mata selepas berkahwin lebih setahun.

Seksualiti ialah proses pengenalan diri seseorang individu baik lelaki atau perempuan.

Proses ini bermula dari peringkat bayi sehingga ke peringkat dewasa dan lanjut usia.

Sebahagian daripada proses ini ialah pengenalan tentang kehendak syahwat dan naluri seksual, hubungan kelamin, kesihatan seksual dan tanggungjawab seksual.

Seksualiti di peringkat bayi berbeza dengan seksualiti peringkat remaja dan lanjut usia.

Tindak balas naluri dan syahwat berbeza untuk remaja dan dewasa serta lanjut usia.

Seperti orang dewasa, remaja mudah terangsang dan mencapai ereksi cuma yang berbeza ialah tumpuannya.

Pada lanjut usia pula, rangsangan dan tumpuan masih ada tetapi tindak balas agak lembap.

* Sebarang soalan mengenai sakit tuan boleh die-melkan ke kesihatan@utusan.com.my

Ciri-ciri lelaki yang disukai wanita secara umum

1. Lelaki tulin - Tahu hakikat yang dia dijadikan sebagai lelaki dan dari itu bersifat sebagai lelaki dan tidak bertingkah laku hingga terkeluar dari kategori lelaki
2. Lelaki yang berharga - Lelaki yang tidak cemburu buta kerana lelaki yang cemburu itu lemah dan cemburu itu melambangkan bahawa dirinya tidak berharga.
3. Lelaki yang teguh jiwa - Tidak mudah mengalirkan air mata. Bila lelaki menangis, maka harga dirinya hilang kerana air mata adalah perhiasan hati wanita.
4. Lelaki yang sederhana - Tidak meninggi diri dan tidak pula terlalu merendah diri.
5. Lelaki yang cantik - Wanita menganggap kecantikan lelaki berada pada perangainya dan kebersihan hatinya.

6. Lelaki yang punya pendirian -
Lelaki yang berpegang teguh pada kata-katanya dan menunaikan janji bila berjanji.
7. Lelaki yang kemas bersih - Menjaga kebersihan serta berdandan tetapi tidak secara berlebihan. Pakaiannya kemas dan tidak nampak canggung.
8. Lelaki yang cerdik - Cepat faham apa yang dikehendaki oleh wanita tanpa perlu disebutkan.
9. Lelaki yang cekap - Segera memberikan kepada wanita apa yang dihajati tanpa perlu diminta terlebih dahulu.
10. Lelaki yang bijak - Tidak suka bercerita tentang kelebihan atau ketampanan dirinya.
11. Lelaki yang tabah - Tidak mudah hilang akal bila menghadapi masalah dan tidak bingung atau kalut bila menghadapi suasana menekan, kesuntukan masa, atau cemas.* Lelaki yang berwawasan. Tidak melakukan sesuatu tanpa merancang. Objketif dan cekal dalam mengejar cita-citanya. Masa digunakan untuk perkara yang produktif.
12. Lelaki yang baik - Tidak suka hidup berfoya. Taat kepada suruhan agama. Tidak berjudi, berzina atau minum arak.
13. Lelaki yang sopan - Tahu menghormati orang tua serta pandai mengambil hati.
14. Lelaki yang mengasihi - Walaupun mungkin dia tidak menyatakan kasihnya pada wanita itu. Satu masa, wanita berharap lelaki ini akan meluahkan perasaan kasihnya itu.
15. Lelaki yang ceria - Boleh berjenaka dan berkongsi cerita. Tidak selalu sugul dan berkerut-kerut dahinya

6 ancaman penyakit lelaki

Kebanyakan lelaki sentiasa ingin kelihatan hebat bukan sahaja di mata wanita, tetapi juga di mata lelaki lain walaupun mereka telah berumah tangga dan dikurniakan anak.

Namun, untuk memenuhi definisi lelaki hebat bukanlah mudah. Antara kriteria yang perlu dipenuhi ialah keperibadian dan kesihatan yang baik.

Apabila bercakap soal kesihatan, ramai yang sedia maklum bahawa lelaki tidak gemar berjumpa doktor biarpun masalah yang dihadapi berlarutan sehingga berbulan-bulan atau bertahun lamanya.

Ini kerana, kesukaran menerima hakikat bahawa mereka menghidap penyakit merbahaya terutamanya apabila melibatkan soal kesihatan dalaman.

"Penyakit yang sering dihadapi oleh kaum lelaki kebanyakannya adalah sama dengan wanita.

"Beza di antara keduanya adalah gejala penyakit itu, penerimaan dan kekuatan untuk menempuhinya.

"Berbanding wanita, lelaki lebih mudah mendapat penyakit berkaitan mental atau skizofrenia, " kata Ketua Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Mohd. Hussain Habil kepada Kosmo!.

Jelasnya, lelaki yang menghidap penyakit mental lebih sukar untuk sembuh kerana beberapa faktor antaranya tanggungjawab komuniti dan tekanan.

Habil memberitahu, kebanyakan keluarga pesakit enggan menerima skizofrenia sebagai masalah perubatan.

Sebaliknya, mereka percaya masalah itu disebabkan buatan orang, santau dan ilmu hitam. Justeru, mereka lebih selesa berubat dengan bomoh atau guru agama.

"Penyakit ini tidak dapat dirawat dan gejalanya berlarutan sehingga pesakit sukar dirawat," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Skizofrenia

Skizofrenia bermaksud gangguan kimia dalam otak. Seorang psikiatri Sweden, Eugen Bleuler menggunakan perkataan ini buat pertama kalinya pada tahun 1911 untuk menjelaskan keadaan pesakit yang pemikirannya seakan-akan tidak boleh lagi bersambung.

Simptom skizofrenia muncul pada usia 15 ke 35 tahun. Secara gender, lelaki dan perempuan memiliki risiko yang sama untuk mendapat skizofrenia tetapi simptom lebih cepat muncul pada lelaki.

Sekitar 80 peratus pesakit boleh menikmati kehidupan yang selesa dan produktif jika menjalani rawatan jadual yang ditetapkan.

Pesakit skizofrenia lebih ramai membunuh diri jika dibandingkan dengan populasi umum. Dianggarkan 10 peratus pesakit (terutama lelaki muda) membunuh diri.

Skizofrenia boleh terjadi dalam keluarga. Risiko mewarisinya bagi mereka yang memiliki keluarga terdekat mengalami skizofrenia adalah 10 peratus, manakala 40 peratus bagi mereka yang memiliki ibu bapa atau kembar yang menghidap skizofrenia.

Penyakit jantung

Nisbah lelaki yang menghidap penyakit jantung berbanding perempuan ialah 5:1. Penyakit jantung lebih menyerang lelaki kerana tubuh wanita dilindungi oleh sejenis hormon iaitu estrogen.

Hormon ini berfungsi mengekalkan saiz salur darah dalam keadaan normal. Walaupun demikian, wanita yang merokok dan menghidap sakit kencing manis juga berpotensi mendapat sakit jantung seperti lelaki.

Namun bagi wanita yang tidak merokok dan tidak mengalami sebarang masalah kencing manis, peluang mendapat penyakit ini tipis berbanding lelaki.


Kencing manis dan darah tinggi

Kebanyakan pesakit yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi berpotensi mendapat penyakit jantung. Penghidap penyakit kencing manis sering mengalami kekurangan hormon insulin di dalam badan.

Akibatnya lemak di dalam badan sukar diproses dan salur darah menjadi sempit akibat kekurangan bekalan darah ke jantung. Tekanan darah tinggi pula menyebabkan jantung bekerja lebih teruk dan menjadikannya lebih besar.

Barah

Antara penyakit barah yang lelaki hadapi termasuklah barah paru-paru (COPD), barah darah (leukemia), barah ginjal, barah prostat dan kolorektal.

Barah prostat berlaku disebabkan terdapat perubahan gen dalam badan lelaki sehingga menyebabkan kelenjar-kelenjar prostat membiak secara abnormal. Barah kolorektal pula merupakan barah yang terdapat di dalam usus besar (kolon) iaitu bahagian bawah sistem pencernaan lelaki.

Disfungsi Ereksi (ED)

Disfungsi ereksi atau impotens adalah ketidakmampuan untuk memula dan mempertahankan ereksi. ED selalunya dikaitkan dengan penuaan dan psikologi lelaki. Namun berdasarkan kajian demi kajian, pakar mendapati, ia satu salah faham yang perlu diperbetulkan.

Masalah psikologi atau dipanggil psikogenik, bukanlah penyumbang besar kerana ia hanya penyebab sekitar 20 peratus kepada ED di kalangan lelaki.

Masalah sebenar lelaki atau baki 80 peratusnya adalah disebabkan oleh masalah kesihatan lelaki itu sendiri.

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

QURA'AN KAREEM

"Magical Template" designed by Blogger Buster