Menjana Sambil Beramal Jariah

Jana Pendapatan Sekarang!

Sabtu, Mac 20, 2010

Mahu menetapkan sendiri mas kahwin

Saya akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi, tetapi saya dan pasangan masih tidak dapat membuat kata putus tentang mas kahwin dan wang hantaran. Bakal suami saya mahu memberi sekali gus kerana katanya tidak ada beza dan memudahkan dia untuk membayar. Dia juga mahu menetapkan harga yang mahu dibayar. Saya agak keliru, sebenarnya apakah perbezaan antara mas kahwin dan wang hantaran? Adakah wajib bagi bakal suami untuk menyediakan kedua-duanya? Bolehkah jika saya ingin menetapkan mas kahwin lebih daripada apa yang ditetapkan oleh kerajaan kerana ia agak sedikit.

- Rozana Badrul Iman
Kedah

Jawapan:

Perkahwinan adalah satu ikatan suci yang mengikat pasangan dan sebagai suatu "..perjanjian atau persefahaman yang kuat..'' (al-Nisa ayat 21). Ia juga merupakan satu kontrak di mana pasangan akan melangsungkan perkahwinan dengan syarat-syarat yang telah ditentukan dan pembayaran mas kahwin adalah salah satu daripadanya.

Antara perkara penting yang sememangnya dibincangkan oleh pasangan ialah tentang mas kahwin dan pemberian.

Mas kahwin pada sejarahnya merupakan wang yang dibayar oleh pihak pengantin lelaki kepada ibu bapa pengantin perempuan untuk membantu kos perbelanjaan kenduri perkahwinan. Tetapi pada zaman ini dan setelah kompromi antara undang-undang Islam dan adat Melayu yang lama, mas kahwin adalah mahar pembayaran yang diberi atau dijanjikan dibayar kepada pengantin perempuan itu sendiri.

Mas kahwin ini boleh berupa wang atau barangan. Hadis Rasulullah s.a.w daripada riwayat Bukhari menyatakan; "Carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi.''

Jadi, selain daripada wang ringgit, barangan lain seperti barangan kemas juga boleh diberikan sebagai mas kahwin jika saudari bersetuju berbuat demikian.

Mengikut hukum syarak, tiada jumlah tertentu yang harus dibayar sebagai mas kahwin. Pasangan boleh menetapkan jumlah mas kahwin menurut taraf hidup pasangan.

Namun, mengikut perundangan Islam di Malaysia, kerajaan telah menetapkan kadar minimum mas kahwin yang perlu dipatuhi. Memandangkan setiap negeri di Malaysia mempunyai Akta Perundangan Islamnya sendiri, kadar ini juga berbeza-beza mengikut negeri. Majlis Agama Islam Kedah tidak menetapkan sebarang jumlah minimum yang wajib diberi dan oleh itu saudari dan pasangan bolehlah menetapkan berapa jumlah mahar.

Bayaran mas kahwin mestilah dilangsaikan oleh pihak suami dan jika tidak ia merupakan hutang suami kepada isteri. Isteri berhak ke atas mas kahwinnya walaupun setelah diceraikan, manakala wang hantaran atau pemberian pula merupakan adat Melayu yang telah diamalkan turun-temurun.

Wang hantaran ini adalah hadiah yang diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan. Ini tidaklah diwajibkan seperti mas kahwin tadi. Ia lebih merupakan keikhlasan pihak lelaki untuk memberi kepada pihak perempuan sebagai membantu menampung perbelanjaan kenduri kendara.

Saudari dan pasangan sebenarnya boleh berbincang tentang jumlah yang mampu diberi sebagai mas kahwin dan hantaran. Jika mahu memberi secara sekali gus juga tidak menjadi satu kesalahan. Ramai pasangan kini hanya meletakkan mas kahwin sahaja, tetapi jumlah yang ditetapkan itu merupakan satu jumlah yang bersesuaian dengan taraf kedudukan pihak perempuan dan apa yang termampu oleh pihak lelaki. - Panel Peguam Syarie

0 ulasan:

QURA'AN KAREEM

"Magical Template" designed by Blogger Buster