Menjana Sambil Beramal Jariah

Jana Pendapatan Sekarang!

Sabtu, Mac 20, 2010

Gerbang Perkahwinan

Hiasan pelamin dan meja makan beradab sering menjadi tumpuan tetamu yang hadir. Namun, keindahan bukan saja terletak kepada hiasan pelamin semata-mata, tetapi turut membabitkan keseluruhan majlis.

Sedar atau tidak kewujudan arca bunga hiasan tatkala kaki melangkah masuk ke dewan ataupun perkarangan majlis raja sehari, antara perkara pertama yang menjadi tumpuan tetamu, namun tidak ramai tetamu yang sedar akan keindahan gerbang penyambut tetamu itu.

Gerbang berkenaan memberi 1,001 maksud mendalam terutama kepada tetamu yang hadir meraikan bakal mempelai, malah turut memberi nilai dan maksud besar dalam erti perkahwinan yang dimeterai pasangan pengantin.

Hiasan sambut tetamu: Kehadiran arca bunga serikan majlis raja sehari walaupun sering dipandang remeh

Arca bunga adalah antara dekorasi atau hiasan bunga-bungaan yang semakin menjadi pilihan dalam acara perkahwinan. Berfungsi sebagai penghias kepada pintu gerbang bagi sesuatu majlis keramaian, arca bunga bagaikan penyeri kepada suasana majlis perkahwinan atau apa saja untuk majlis perasmian.

Menghuraikan maksud dan peranan arca gerbang penyambut tetamu itu, pereka hiasan bunga daripada Erika Creations, Anita Ng Abdullah, berkata hiasan berkenaan sering terlepas pandang peranannya walaupun ia berfungsi sebagai penyeri sesuatu majlis.

Katanya, dalam perkahwinan Melayu tradisional pada awal 70-an, masyarakat menggunakan daun kelapa yang dibahagi dua sebagai gerbang hiasan penyambut tetamu dan biasanya diletakkan di depan rumah. Bagaimanapun, gerbang penyambut tetamu itu semakin mendapat tempat di kalangan pengantin hari ini selepas bidang perancang perkahwinan mula berkembang sejak awal 1990.

Anita berkata, masyarakat yang semakin moden, cita rasa berbeza-beza tambahan pula dipengaruhi dengan konsep majlis ala Inggeris, arca bunga disertakan dalam kebanyakan majlis perkahwinan kini.

“Perancang perkahwinan juga kini semakin ramai dan kreatif lantaran itu turut menawarkan idea menambah arca hiasan bunga dalam majlis perkahwinan yang diaturkan.

“Selalunya, arca hiasan bunga itu diletakkan di luar perkarangan majlis, dalam kawasan dan juga berhampiran kawasan masuk pelamin. Ia berperanan besar sebagai penghias dan penyeri ketika majlis berlangsung. Hakikatnya, masih ramai lagi yang tidak menyedari fungsi dan peranan arca bunga dalam gerbang perkahwinan Melayu,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

Biasanya rekaan hiasan bunga pada arca berkenaan menggunakan konsep sama dengan hiasan di dalam dewan atau sesuatu majlis. Arca bunga tidak diletakkan sendirian saja sebaliknya majlis nampak meriah dan ceria apabila disertai dengan bunga ‘walkway’. Bunga ‘walkway’ iaitu satu hiasan yang dicipta untuk menambahkan lagi penyeri pada bahagian laluan utama tetamu dan juga pasangan pengantin ke tempat utama seperti pelamin.

Anita berkata, gaya arca bunga dan bunga laluan utama kini menjadi satu ikutan dalam setiap kali majlis perkahwinan. Bayangkan sekarang, majlis perkahwinan tidak dilengkapi hiasan berkenaan, majlis pasti tampak muram dan tidak bersemangat.

Sehubungan itu, arca bunga membantu menyemarakkan lagi suasana bertambah meriah dan ceria. Ia juga dilihat sebagai pemanis pada sesuatu majlis, tetamu yang hadir secara tidak langsung merasa selesa dan teruja dengan hiasan indah berkenaan.

“Konsep hiasan bunga pada arca selalunya diselaraskan mengikut hiasan utama yang digubah di dalam dewan atau rumah atau di mana saja lokasi majlis yang dibuat. Setiap rekaan hiasan yang kreatif dan indah lazimnya menjadi ikutan dari zaman ke zaman.

“Jika dulu, masyarakat kurang menggunakan bunga segar sebagai penghias majlis, kini bunga segar semakin menjadi pilihan ramai, walaupun hanya untuk pelamin,” katanya.

Anita berkata, antara bunga yang sesuai dan sering digunakan menghiasi arca bunga ialah bunga ros, lili, sunda malam, bunga tembakau, baby breath, yellow peacock, white peacock serta bunga static, sementara bagi tambahan daun-daun yang bersesuaian antara yang biasa digunakan ialah daun Johor, paku, monstera, silver leaf dan firm leaf.

Katanya, hanya sesetengah daun dan bunga sesuai menjadi penghias kepada arca bunga dan hiasan laluan utama kerana ia boleh tahan lebih lama dan segar dalam masa sehari setengah.

“Arca bunga kini boleh didapati dalam pelbagai bentuk. Bentuk biasa dinamakan sebagai Oval iaitu separuh bulat dengan hanya dua kaki. Ringkas, tetapi nampak lebih menarik dengan arca besi berbentuk empat segi dan bumbungnya rata juga nampak indah.

“Kebanyakan perancang perkahwinan mempunyai arca yang ditempah dinamakan Dome iaitu tiang besi empat kaki setinggi tujuh hingga lapan kaki dan mempunyai kubah bulat di atasnya. Ada juga bentuk triangle (segi tiga) dengan empat kaki pada bahagian bucu serta mempunyai puncak setinggi kira-kira sembilan kaki. Triangle adalah konsep dari Arab yang gemar digunakan oleh masyarakat Asia Barat meraikan sesuatu majlis,” katanya.

Beliau berkata, hiasan dimulakan dengan melilit span basah atau kering untuk mencucuk bunga hidup atau tiruan pada tiang besi arca. Kemudian, arca jenis empat segi, Dome dan Triangle ditambah dengan hiasan fabrik bersesuaian, lampu kristal candelier dan juga bunga-bungaan untuk tampak gah, terutama pada pintu masuk dewan majlis.

Ditanya mengenai peranan arca hiasan bunga pada masa depan, Anita berkata, jika sekarang sering digunakan dalam apa jua majlis, tidak mustahil arca gerbang penyambut tetamu akan menjadi satu kemestian dalam majlis pertunangan, pernikahan dan juga perkahwinan.

Terima kasih pereka hiasan bunga dan juru solek, Anita Ng Abdullah.

* Info: Butik Erika Creations
* Lokasi: NO 40, Kalan Bola Tampar 13/14, Seksyen 13, Shah Alam.
* Telefon: 03-5511 9877 / 019-2685879

Oleh Hidayah Mohammad

0 ulasan:

QURA'AN KAREEM

"Magical Template" designed by Blogger Buster